Saturday, December 11, 2010

Memahami jiwa anak-anak....

Kanak-kanak ibarat kain putih, kita yang mencoraknya. Didikan peringkat awal penting demi mencorak masa hadapan baik dari segi emosi, tingkah laku mahupun peribadi. Cabaran yang paling sukar semasa mendidik anak-anak ketika mereka masih kecil.. Di bawah usia 12 tahun. Perhatian yang lebih harus diberikan ketika usia sebegini. Pendekatan secara psikologi amat berkesan untuk mengenali dan memahami jiwa anak-anak.. Komunikasi antara dua pihak sangat penting di usia sebegini terutama di usia 6 tahun ke bawah.
  • Jenis Emosi atau Perasaan dan implikasi pada kanak-kanak:
  • Gembira – membantu kanak-kanak atau remaja berfikir bagaimana melahirkan rasa seronok dan menggalakkan mereka bercakap mengenai sesuatu yang mereka sukai.
  • Marah – membantu mencari jalan bagaimana menghadapi halangan untuk mendapat sesuatu yang dicitakan dan mengenal erti kesabaran, belajar melahirkan perasaan geram dalam bentuk yang bersesuaian dan mencari jalan penyelesaian.
  • Takut - rasa terancam, suatu motivasi ingin memastikan keselamatan diri dari aspek fizikal dan psikologi. Merangsang kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan takutnya, mencari jaminan mendapat ketenangan dan ketenteraman.
  • Sedih - Kehilangan, tidak mendapat apa yang dikehendaki menjadikan kanak-kanak berusaha lebih mendapat apa yang dicita, mencurah perasaan dan berfikir bagaimana mengatasi rasa sedih.
  • Geli – selalunya dikaitkan dengan makanan, bau dan pandangan, suatu yang semula jadi menjadikan seseorang kanak-kanak berhati-hati agar tidak ‘terkena’ apa yang yang beliau geli. Perasaan ini perlu dihormati dan bantu mereka mencari sebab mengapa mereka berperasaan begitu.
  • Cemas – Asalkan tidak keterlaluan, sebenarnya ia membantu kanak-kanak berusaha mengambil langkah mengelak diri dari menghadapi masalah, belajar menahan perasaan bimbang dan bertindak proaktif untuk menunjukkan sesuatu yang terbaik.
  • Malu - Menjadikan kanak-kanak menyedari kepentingan perilaku yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang dikatakan memalukan. Ini membantu mereka mengawal tingkah laku mereka sendiri.
  • Rasa bersalah – wujud bila kanak-kanak melakukan sesuatu yang dianggap ‘keluar’ dari ‘standard’ tingkah laku yang baik. Si kecil akan berusaha untuk tidak dianggap bersalah dengan berakhlak sebaik mungkin dan sekiranya kesalahan tetap atau sudah dilakukan, perasaan ini merangsang kanak-kanak meluahkan perasaan dan menyedari agar berusaha untuk tidak mengulangi pada waktu yang lain.
  • Rasa bangga – tercetus bila seseorang kanak-kanak terasa dihormati/dihargai oleh orang lain atau bila ia mencapai apa yang diharapkan seperti merangsang mereka meluahkan apa yang membuatkan mereka merasa bangga dan memberi peluang berkongsi rasa bangga, puas dan gembira.
  • Perkembangan Awal Emosi (bayi 0-15 bulan)
  • Emosi asas (positif dan negatif) berkembang secara ‘gradual’ terutama dalam tempoh enam bulan pertama dan selalunya ditonjolkan menerusi memek muka dan ‘eye contact’:
  • - gembira/seronok – senyum, pipi terangkat, mata berbentuk bulan sabit. Contoh – bila diagah.
  • - terkejut – angkat kening, mulut terbuka luas, bulatkan mata. Contoh – berhenti menangis bila dengar bunyi muzik atau suara jeritan
  • - minat – merenung, mengerutkan kening dan bibir. Contoh – merenung wajah ibu, melihat persekitaran
  • - marah – mengerut dan memasamkan muka, kening turun naik, mata tajam. Contoh ‘mengamuk’ bila mengantuk atau lapar, bila objek ‘dirampas’ daripada tangan.
  • - Sedih – muka masam dan layu, dagu tertolak ke hadapan. Contoh – ditinggalkan ibu
  • - Geli- berkerut kening, jelir lidah. Contoh – ‘menolak’ jenis makanan tertentu, menangis bila buang air.
  • Bayi antara 3 – 8 minggu sudah boleh tersenyum- perkembangan awal emosi positif
  • Bayi 12- 20 minggu – senyum pada wajah dan suara dikenali; senyum bila merasakan persekitaran ‘dikuasai’, mula ketawa.
  • - Enam bulan pertama bayi masih belum mempunyai rasa sayang/ kasih pada sesuatu/seseorang.
  • - Perasaan kasih mula terbentuk ketika usia antara 7 hingga 9 bulan – melalui hubungan ikatan kasih sayang, sentuhan, belaian dengan orang yang paling hampir seperti ibu dan ayah, menunjukkan rasa tidak senang/takut dengan kehadiran ‘orang asing’.
  • Emosi anak tatih (16-36 bulan)
  • Emosi turun naik seperti ‘roller coaster’
  • Usia 2 tahun : sudah tahu menunjukkan emosi dan emosi yang ditunjukkan memang disengajakan – tidak ragu-ragu untuk melakukannya.
  • Mahu ‘bebas’ tetapi tidak mahu ditinggalkan bersendirian – rasa diri ‘sudah besar’ tetapi mahu dibelai.
  • ‘reject syndrome’ – dalaman kanak-kanak bukan ‘menentang’ ibu bapa.
  • ‘temper tantrum’ (tidak mampu meluahkan perasaan sepenuhnya dalam bentuk perkataan/verbal)
  • Berbagai bentuk perasaan takut: bunyi bising, suara binatang, bilik gelap, ‘hilang’ ibu bapa, perubahan persekitaran dan sebagainya (takut pada apa saja yang ‘dianggap’ bahaya).
  • Emosi anak prasekolah (36 bulan hingga ke usia enam tahun)
  • Usia 3-4 tahun sudah boleh memahami perkaitan antara emosi dan persekitaran/sebab yang mempengaruhi emosi.
  • Mula belajar mengawal emosi yang turun naik.
  • Pemahaman terhadap emosi orang lain terbatas hanya kepada emosi yang ditunjukkan melalui memek muka.
  • Perasaan takut yang terbentuk berkait dengan imaginasi dan khayalan berserta perkembangan daya kreativiti dan pemikiran abstrak. Contohnya takut hantu, takut jatuh.
  • Lebih berdikari, kurang physical contact dengan ibu bapa.
  • Lebih banyk bercakap untuk mencurah perasaan/menangani perasan.
  • Perkembangan emosi kanak-kanak usia pertengahan (7-14 tahun)
  • Sudah pandai menyembunyikan emosi yang negatif dengan berpura-pura menunjukkan keseronokan.
  • Sudah mula memahami dan menghurai emosi yang kompleks : perasaan malu, rasa bersalah, rasa bangga dan cemburu.
  • Perasaan takut mula berkembang kepada yang lebih realistik – takut sekolah, takut berkomunikasi, takut kejadian jenayah.
  • Mahu disayangi tetapi bukan ditonjolkan depan ramai.
  • Amat memerlukan bantuan mengenalpasti emosi marah agar tidak ‘out of control’; belajar mengawal perasan.
  • Perlu perhatian dan dorongan mengatasi rasa takut.
  • Mula memahami keperluan kumpulan.
Zaman dah berubah, ibu bapa kini lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah.  Soal penjagaan dan didikan anak-anak, diserahkan bulat-bulat pada pengasuh, ibu atau mertua dan paling sedih, orang gaji di rumah.. Jangan menunding jari pada sesiapa atau berasa sedih sekiranya satu ketika, anak sendiri tidak mahu dengan kita, orang lain lebih mengenali anak kita dari kita sendiri..... Fikir-fikirkan.....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...