Saturday, November 6, 2010

Bantal busuk Kekabu

Korang penah ada bantal busuk tak? Ha, jangan tak ngaku.. Aku penah ada.. Tu la peneman tido.. Sampaikan masuk asrama pun bawa jugak.. sangat la tak malukan? Arwah nenek aku yang buatkan, guna kekabu.. memang syok.. boleh dikatakan keseluruhan bantal2 kat rumah aku termasuk tilam semuanya kekabu.. Berat tu memang berat, tapi best tido... Takde sakit2 badan, sakit2 tengkuk.. Aku rindu bantal hakuuuu...

Serba sedikit info pasal kekabu nie.. Layannnnnn


Pokok kekabu sering terdapat di kampung berdekatan rumah kerana tumbuhan ini amat berguna. Pokok kekabu memang dikenali oleh penduduk Malaysia, terutamanya bagi penduduk luar bandar. Pokok kekabu merupakan sejenis pokok yang amat dihargai pada suatu masa dahulu. Ini kerana buahnya berbentuk kekapas, merupakan satu gentian pelbagai guna yang penting pada suatu masa.

Nama botani pokok kekabu ialah ‘ceiba pentandra’ dan mempunyai ketinggian ketinggian 30m di Malaysia tetapi dapat mencapai sehingga 40m di benua Amerika. Pokok kekabu berasal dari bahagian tropika benua Amerika dan tidak tumbuh liar di Malaysia. Di dalam hutan Malaysia ada kekabu hutan tetapi dinamakan ‘Bombax’. Keluarga kekabu ialah ‘Bombacaceae’.
Pokok kekabu sesuai dalam cuaca jenis monsun, iaitu bermusim kemarau dan tengkujuh yang nyata. Di Semenanjung Malaysia, pokok kekabu paling banyak terdapat di negeri Perak dan tidak banyak terdapat dibahagian selatan Semenanjung. Pokok kekabu banyak ditanam di India, Myanmar, China, Indochina dan Asia Tenggara. Pada masa penjajahan Belanda, pokok kekabu ditanam dalam barisan di tepi jalan dan dijadikan sebagai tiang untuk talian telefon.

Banir pokok kekabu adalah besar kerana ia berdekatan dengan tanah manakala bahagian tengah pula berbentuk tirus dan bulat, dahan pula tumbuh secara mendatar dan tersusun bertingkat-tingkat. Ada kala diameter banirnya berukuran dari satu hingga dua meter. Manakala kulitnya merekah-rekah dan sesetengahnya jenis berduri.

Bunganya berukuran 4cm lebar, bewarna putih kekuningan, mempunyai bentuk yang cantik dan dihasilkan dalam jambak pada hujung ranting. Bunga kekabu kembang lebih kurang 20 minit, bunga yang berbau susu ini disukai oleh kelawar dan keluang pada waktu malam.

Buah kekabu ialah sejenis buah pepisang. Buahnya dapat mencapai 15cm panjang atau lebih, tergantung seperti timun pada hujung ranting. Warna buahnya hijau semasa muda dan berubah menjadi perang hingga hitam apabila masak dan merekah dari pangkal pucuk. Buah ini terbahagi kepada 5 bahagian. Buahnya akan mencapai saiz maksimum dalam masa 30 hari tetapi mengambil masa tiga bulan untuk masak.
Daunnya tumbuh rapat pada hujung ranting dan gugur serentak. Daunnya luruh tidak tentu masa. Ada masanya daunnya luruh serentak. Kadang-kadang satu bahagian panjang.
Setiap kuntum bunganya ada salut bunga yang pecah lima. Rangginnya berwarna putih dan berbulu di sebelah luar. Bulu-bulu ini adalah lebih kurang satu sentimeter panjang. Ia berbunga apabila daunnya telah habis gugur. Bunganya kecil berwarna putih merah jambu dan ia berjambak-jambak lebih kurang 20 sentimeter 20 sentimeter, kulitnya berwarna coklat dan tajam hujung pangkal. Dalamnya terdapat kekabu putih atau kekuningan dan biji-biji hitam yang hampir serupa dengan biji kapas.

Kualiti kekabu bergantung kepada cara dan proses mengasingkannya daripada biji dan empulur. Kekabu sering digunakan untuk membuat tilam dan bantal. Kekabu juga disebut sebagai kapuk. Hasil daripada pokok kekabu ialah serabut yang juga disebut sebagai kapuk. Kapuk digunakan untuk membuat bantal, tilam, kusyen, jeket pengapung dan sebagainya. Antara lain, sehingga kini, kekabu masih digunakan sebagai isian bantal dan tilam cara tradisional. Bantal atau tilam yang disi dengan kekabu mampu bertahan sehingga 20 tahun, tetapi ia perlu dijauhkan dari air, dan dijemur dan dipukul dengan pemukul rotan bagi menyingkir debu kekabu yang telah hancur.

Lain-lain Khasiat dan Kegunaan Pokok Kekabu
  • Biji kekabu mengandungi sehingga 25% minyak. Minyaknya diperolehi daripada biji kekabu dan hampas bijinya dijadikan makanan haiwan. Hampas biji kekabu mengandungi protien. Minyak biji kekabu digunakan untuk membuat sabun dan bahan api. Ciri-ciri minyak kekabu hampir menyamai ciri-ciri minyak biji kapas. Biji kekabu tidak boleh dimakan terlalu banyak kerana akan menyenakkan perut.
  • Kayu kekabu pula lembut dan digunakan untuk membuat sampan, kotak, kayu mancis dan sebagainya. Gam boleh diperolehi daripada pokok kekabu. Gam ini larut dalam air semasa segar dan sebaliknya tidak larut apabila keras.
  • Kulit pokok kekabu juga digunakan sebagai pewarna merah coklat pada kain. Di Mexico, kulit pokok kekabu yang ditumbuk hingga lumat ditampal pada luka dan air rebusan isi kulit pokok kekabu digunakan sebagai perangsang muntah, mengubati spasma, luka pada kaki, buasir, gonorea, perangsang haid dan perangsang pengeluaran plasenta wanita selepas bersalin. Air rebusan kulit pokok kekabu digunakan sebagai ubat penyembuh asma dan demam untuk kanak-kanak. Di Filipina, air rebusan kulit pokok kekabu digunakan sebagai penguat tenaga batin dan ubat demam panas dan cirit birit.
  • Rebusan akar kekabu diminum sebagai diuretik, iaitu perangsang menghasilkan air kencing. Air rebusan akar kekabu, buah muda atau gam digunakan sebagai ubat disentri, cirit-birit, edima, dropsi dan perangsang kencing.
  • Air rebusan daun diminum dan digunakan untuk mandi. Orang Trinidid turut menggunakan air rebusan daun kekabu untuk mandi dan mengubati bengkak pada kaki. Di Malaysia daun kekabu yang sudah diramas dan direndam didalam air panas atau direbus, diminum sebagai ubat demam panas, sifilis dan selepas bersalin. Di Singapura pula satu cara untuk mengubati batuk adalah dengan menumbuk daun kekabu dengan campuran bawang merah dan kunyit, kemudian direndam di dalam air. Air ini diminum untuk mengubati batuk,masalah kerongkong, sakit usus dan sakit saluran kencing. Di India, daun muda digunakan sabagai ubat gonorea.

pokok kekabu

batang pokok kekabu, aku geliiii.....

buah kekabu


buah kekabu yg dah pecah...      

sumber info kekabu 








No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...